Friday, May 18, 2012

...secangkir sarbat dingin

 
Jika aku memang sahabatmu,
perlakukanlah aku selayaknya seorang sahabat
sajikanlah aku sarbat dingin ini untuk kita nikmati bersama,
lantas sajian ini pastinya
memang punya pelbagai citarasa,
kekadang  manis kekadang pahit,
namun  harumnya  semerbak menusuk jiwa....
manis, pahitnya bersulam tenangnya yang dirasa.

Jika kau anggap aku sahabatmu,

jangan kau perlakukan aku bagaikan sebatang rokok
hanya akan kau nikmatinya di saat kau inginkan,
setelah abunya bertebaran asap berserakan
puntungnya akan kau campakkan jauh dari pandangan
kini kau takkan perlu lagi rokok yang telah menjadi puntung...
lantaran kau masih boleh menghisap batang-batang rokok yang lain,
yang menyediakan diri untuk kau hisap sedalam-dalam asapnya
yang membiarkan diri untuk kau hembus keluarkan kepulan asapnya
dan akhirnya aku pasti sekali
akan kau campakkan kembali puntungnya jauh-jauh lagi.

Syukran, aku bukanlah sebatang rokok untukmu...
namun, jika sekalipun aku bukannya apa-apa bagi mu
pinta aku janganlah sesekali  aku diganggu
dengan tebaran semerbak sarbat yang kusuka
sesungguhnya itu semua hanyalah sebuah ilusi
biarkan aku nikmati sarbat dingin seorang diri

nikmat tegukannya  perlahan-lahan
rasa manis, pahit dan ketenangan itu
sambil sesekali mengibas asap rokok
yang terkadangkala memedihkan mataku ini.

Aku tidak menginginkan apa-apapun

tidak sesekali  bermaksud apa-apapun
aku hanya ingin  bersama menikmati secangkir sarbat dingin
sambil mendengar rintihan keluh kesah kisahmu,
sambil sesekali aku berlagak bijak
layaknya bak sang merak perindu agung
bertemankan cuma secangkir sarbat dingin
menikmati segala cita dan rasanya
hanya kerana aku ini
seorang yang bernama sahabat...

 
nuremyinda

Wednesday, May 16, 2012

SELAMAT  HARI   GURU 
(dedikasi khas buat guru2ku yang tercinta
                                   Jasa budi kalian amat ku hargai dan sentiasa ku kenang)
  
                                          TERIMA KASIH CIKGU! 

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN  AWANG  - 1979

Sunday, May 6, 2012

Izinkan  aku…
Keukenhof, The Netherlands
Kekadang terlintas di benak ini
perlukah mata ini jika sekadar untuk
menyaksikan kesengsaraan di depan mata
perlukah tangan ini sekadar untuk
melakukan kemusnahan kerosakan pada dan apapun jua
perlukah hati dan jiwa ini
menerima segala kepedihan dan  kedukaan yang menimpa
Namun yang jelas  segalanya itu adalah misteri yang aku terokai
Dan yang pasti dan tanpa sesekali perlu meragui
aku harus mensyukuri setiap nikmat dan kurnia yang aku perolehi
Lantaran...
segala keindahan,  kehangatan dan keakraban alam
pepohon dan rerumput
sering menyambutku dengan tarian
kerikil-kerikil kecil 
sering tersenyum melihatku datang
sentuhan hangat sang mentari yang menyinari
bisikan mesra sang angin yang bersiul menggoda
desahan genit sang  bayu yang menggiur rasa
tatapan sang bulan dan bintang yang tenang menemani
Tuhan… betapa indahnya semua ciptaan Mu ini,
Izinkan aku bercekerama dengan mereka
di bawah naungan salah satu langit Mu yang biru
Untuk aku terus menerus menerima mensyukuri
setiap kenikmatan dan kesempurnaan hidup yang telah aku peolehi
Yang telah dengan limpahan rahmat kasihMu
Kau  terus menganugerahi…

Alhamdulillah Ya Rabbi…


nuremyinda Mei2012

Saturday, May 5, 2012

Something  to  ponder ...

Humanity  has  failed  when  a  bullet  symbolizes  peace...
We go to war..for God, for glory...
                                                  but what do we fight for ?

Tuesday, May 1, 2012


Rentak  Pentas

Dikatakan dunia sebuah pentas
Jika pentas -  siapakah  pelakunnya?
Jika pelakun -  siapakah penulis skripnya?
Dikatakan manusia itu pelakunnya
Skrip itu bahasa dirinya
Pelbagai watak pelbagai ayatnya
Pelbagai bahasa pelbagai ekspresinya
Pelbagai emosi pelbagai citarasanya
Di akhir kesudahan pementasan ini
Kita semua sesama  menilainya
Kita semua  sesama renunginya
Apakah tenangnya hati
Apakah gundahnya naluri
Sesungguhnya  di sebalik tirai pementasan itu
Hanya si empunya diri yang dapat mengetahui
Putih hitamkah kehidupan ini
Tidak  mungkin dapat kita memilih 
Tidak mungkin dapat kita hindari
Lantaran segalanya tertulis sejak azali
Walaupun kita berusaha  tidak hanya berserah diri
Sesungguhnya itulah rencana ketentuan Illahi
Sesamalah kita terima, sesama kita meredhai
Yang pasti
Kita manusia punya nilai dan harga diri
Yang perlu saling hormat-menghormati
Itulah cerminan pekerti kita 
Rentak tari seorang manusiawi...

nuremyinda12

Sunday, April 29, 2012

Renungi  dan  hayatilah ...


BERSIHkan  hati  dan  bukalah  minda  kita ... lihat, hayati  dan  nilailah  dengan  matahati . Di situlah  pundak keintelektualan  diri ...


"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya) ".

Thursday, March 1, 2012

Dedikasi  buat  seorang  Pahlawan - Perwira  Bangsa,
LT  KOL  HABIBULLAH  BIN  ISMAIL
(kembali ke rahmatullah pada 6 Jan 2012 ketika masih berkhidmat di bawah misi PBB di Lubnan) 


Perginya Habib tak diduga sama sekali,
Perginya Habib tak dipinta semua yang menyayangi,
Perginya Habib sudah pastinya ditangisi.
Hilangnya Habib pasti dirindui setiap yang mengenali,
Hilangnya Habib; bunga bangsa yang rebah ke bumi
Pulangnya Habib mengadap Tuan Pencipta empunya diri
Kembalinya Habib dijemput Ya Rabbi Illahi
Tersenyumlah roh dan jasad Habib yang dibawa pergi
Lantaran budi, jasa bakti mu Habib semerbak mewangi…
Sesungguhnya Habib – dikau sebutir Permata Jauhari
Habib kau pergi kerana Allah Yang Lebih Menyayangi…
Innalillahiwainnalilahhirojiun...
Kami meredhai…
Semoga roh jasad Allahyarham Habib
Tenang bersama, diam bersemadi
Di sisi golongan mujahidin dan solihin…
Aman damai di sana - Alam yang Hakiki…
Lt Kol Habibullah bin Ismail – nama ini pasti teguh terpetri
Dalam organisasi military dan setiap insan perwira yang pernah kau lewati…
KAUlah antara WIRA NEGARA YANG TIDAK PERNAH DIDENDANGKAN SEBELUM INI…
AL- FATIHAH…itulah yang pasti dan termampu - Doa untukmu kami semua iringi…

nuremyinda12