Friday, November 30, 2012

Bicara  Langit


Arakan awan di langit biru
mengisahkan perihal kita
lebatnya hujan 
persis deraian airmata
munculnya mentari
cerahnya menyerlahkan wajah
birunya langit diserikan pelangi berwarna
lagaknya persis saksi
diam membisu tidak terkata
menyaksikan perjalanan kita
perbezaan bersulamkan keindahan
lantaran langit terus berbahasa
awan  jua turut berbicara
berirama bersenandung ria dan ceria
mengalunkan nada rindu kau dan aku
tandanya suka mengikiskan duka
menyambut hari esok
biarlah bersama selamanya
itulah semuanya tentang kita
ceritera bahasa langit
birunya luas saujana…

nuremyinda



Wednesday, November 28, 2012

Dedikasi  buat  bangsaku
                                            lagi dan lagi dan lagi...
                                                           buat ke sekian kalinya...


Lagu ini telah beberapa kali saya titipkan dalam entri blog saya.  Sangat bermakna bait-bait liriknya.
Hayati dan selamilah bait-baitnya dengan matahati...
 

Tuesday, November 27, 2012

Epilog  sepi  di bumi  anbiya...

 

Demi tanah jajahan yang kau damba
Kau menyerang menerpa segala
Dengan senjata pelbagai tak terbilang
Mortar phosphorus berapi kau lemparkan
Serangan demi serangan kau majukan
Bumi anbiya mursalin yang suci kau cemarkan
Bila akan berkesudahan, bila akan berhenti
Membunuh menyiksa sewenang hati
Mana hilangnya perikemanusiaan, manusiawi
Berselerakan mati mereka yang tidak berdosa
Wanita dan orangtua terbujur di hujung senjata
Anak-anak kecil kehilangan tempat bermanja
Bagimu zionis semua itu bahan tawa dan suka
Bagimu zionis sikap rakus kehaiwananmu kejam tak terkata
Namun kau zionis yang bongkak ego, leka dan lupa
AlQuran terang-terangan telah tercatat firman Allah Taala
Bangsamu dilaknat  Allah Yang Lebih Berkuasa

 
Anak-anak Gaza semangatmu tak luntur semudah yang dijangka
Penderitaan sengsara bagimu sudah menjadi biasa
Sifat juangmu bertemankan ribuan malaikat bertasbih pada yang Esa
Perjuangan mu tidak pernah takut gentar akan mati
Kalian dirindukan para penghuni saujana langit yang dihuni
Kematianmu menyebarkan wangian syuhada’ yang rebah ke bumi
Kematian kalian dijanji kemuliaan di alam yang abadi
Namun kau Zionis la'natullah matimu penuh hina dan dikeji
Sesungguhnya kalian bangsa yang terus merempat tercari-cari
Sejajar tanah untuk kau hidup berkembang menguasai
Sayangnya itu semua tak akan dapat kau perolehi, kecapi
Perintah Allah langsung tidak pernah kau akur dan patuhi
Janganlah sesekali berharap dan terus bermimpi…
Ya Rabbi Kau selamatkanlah anak-anak Gaza ini
Mudah-mudahan bumi anbiya ini kembali menyeri
Masjid Al Aqsa tetap kekal teguh gah berdiri… 
 

Telah satu abad bumi Israk dan Mikraj dilanyak musuh durjana
telah satu abad bumi anbiya dihujani peluru tidak bermata
telah satu abad umat Islam di situ dihalau merata-rata
wajarkah dunia diam membisu seribu bahasa?
wajarkah dunia berpeluk tubuh, tidak mempeduli seolah-olah si buta?
persoalan ini  terjawab bagi sekalian mereka
yang punya akal minda berhati berjiwa
fitrahnya seorang hamba yang bernama manusia...

nuremyinda

Wednesday, November 21, 2012

Kerinduan... 


Unggas menari di laman nirwana
Menghirup, menjilat, menghisap sari bebunga
Wangian itu bukanlah tarikannya
Namun keruntuhan pesona bunga
Langsung layu longlailah ia… 


nuremyinda


Tuesday, November 20, 2012

Kemenangan  itu...
                                                                         (impiku bersama syuhada'  Gaza...)


Rangkaian langit tersusun indah
Oleh warna-warna alam
Bercampur baur pada cahaya yang benderang
Beraneka rupa, beragam budaya berdampingan
Menyambut kejayaan yang gemilang

Tiada lagi suasana suram
Tiada lagi suasana muram
Kalimat-kalimat bahagia telah dikumandangkan

Inilah puncak kemenangan
Pasti kami bawa, menuju langit keabadian
Semoga kekal  terus berpanjangan
Ya Rabbi Kau Yang Berkuasa mengizinkan
Hanya kau yang satu menentukan
Kau segala yang meredhakan...
 

nuremyinda 

 

Thursday, November 15, 2012

... indahmu  sipadan  dalam  kenangan ...


Hembusan lembut sang angin
membuat kau terbuai lena malam ini
biarlah jiwamu hanyut bersamanya
lalu impikan putra putri bercengkerama
berkejaran sepanjang persisir pantai

Jika suara lunak azan berkumandang
menyedarkan lenamu esoknya
pandanglah jauh saujana bumi ini
rasailah degupan jantungnya
di mana awal nadi berdenyut
di sinilah dinamika hidup di mulai
tatapilah Baiturrahman
di situlah wujudnya damai
di segenap rasa dan indra

Lalu jika kau lihat persisiran pantai
berpasir berkilauan bak emas
berjajaran bukit dan hijau rimba perawan
ucappujilah kebesaran  Allah
pandanglah jauh saujana pandangan
denyutan  kehidupan di sini
lantas usahlah malu mengakui
bahawasanya kau pasti akan merindukannya lagi…


 nuremyinda

Wednesday, November 14, 2012

Dedikasi  buat  semua yang melewati saya di sini...

 SALAM  MAAL  HIJRAH  1434 H

Doa Akhir Tahun
Maksudnya:


Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Doa Awal Tahun
Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka. 




...mudah-mudah kita senantiasa diberikan hidayah keimanan 
dan tetap dalam rahmat kasih Illahi... 

Tokoh Maal Hijrah 1434H ialah Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman. Allahyarham pernah menjadi Pengetua 1 di MP Islam, Bangi (skrg IPG Islam), Beliau adalah bekas Penasihat Agama Perdana Menteri dari tahun 2001 hingga 2009. Beliau juga pernah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri.Bekas Setiausaha Agung Kehormat kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM). Meninggal dunia pada 23 Disember 2011 pada usia 72 tahun....AlFatihah...Semoga Allahyarham tenang damai bersemadi;  ditempatkan bersama para solihin di sana... Amiin...


 

Sunday, November 11, 2012

di  penjuru  waktu  itu



ingin sekali aku menawan waktu itu
menjerat memerangkap tak terlihat
pada liku-liku jalanan yang terbiasa
lantas berlalu dengan rasa bahagia
dengan wajah berseri bersinar cahaya mata
mengheret ke ruang gelap tak berpintu
menyonsong ke ruang jendela tidak bertirai

dalam kepekatan dan kedinginan malam
tanpa lemparan seraut semanis senyuman
aku menghantar waktu kepada ketiadaan
membuangnya... 
pergi tanpa sepatah ungkapan
diam membisu...

berhadapan dengan pencari waktu
pengejar pemburu waktu
penentu pengatur pencatat  waktu
penunggu penjaga waktu
aku terdiam membatu
bila mereka memaksaku
mendesak menangis merengek
memohon dengan penuh kepiluan
apakah masih ada pertimbangan

bila aku menjadi hiba
bila air mata tak tertahankan
tak terbendung dan menitis di hujung kakiku
biarkan saja begitu tangisnya
biarkan saja rasa hiba penuhi hati
biarkan saja air mata menitis membasahi kaki
lalu diam kembali membisu
pergi mencari jalan pulang
memeriksa jerat tak terlihatkan
apakah keberhasilannya ada lagi di situ...
kerana deminya detik itu
kitalah yang sering leka 
pada penghujung penjuru sepi
demi waktu yang berlalu pergi
antara redha dan ikhlas di hati...


nuremyinda


Friday, November 9, 2012

Buat  renungan  bangsaku;

Melayu

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muaalaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka


Usman Awang