Legasi ini tiada noktahnya...
Bersyukur dan hargailah apa yang kita nikmati
sekarang
Sesungguhnya ini warisan perjuangan panjang nenek moyang
kita
Mereka Perwira - Mereka Pejuang Pahlawan Negara
hanyir keringat dan darah yang tumpah
daripada liang derita pahlawan pejuang bangsa
lumpurnya pernah terpalit tersimbah
relung tanah ini pernah bergegar
dek jerit pekik pejuang kemerdekaan
Hutang nyawa dan budi dibawa mati
Takkan mungkin dapat dibayar kembali
Kita mampu mungkin bersedekahkan doa
Dan terus menjaga warisan amanat ini...
Justeru wahai anak bangsaku
Bersyukur dan hargailah apa yang kita nikmati
kini
Jaga dan genggamilah seeratnya amanat ini...
Agar tidak sampai terjadinya kita merempat merayu
Meratap tangis bahana sipengganas yang menyerbu
Dek kelalaian dan kealpaan kita oleh tingkah yang sesia
Kesudahannya kita yang rugi berputih mata
Kerana kemerdekaan ini takkan berlaku buat kali kedua
Ayuh! Bangun dan bangkitlah kalian anak watan semua
Ayuh Pewaris pertiwi menunjang pedang kerukunan
Ayuh! Kita wangikan seluruh maya
Ayuh! Kita taburkan bunga bijaksana bangsa
Selagi nyawa dan hayat dikandung badan
Bangkitlah anak watan dari persada luka
Berdiri megahlah di pentas wira
Di hati bersemangat waja
Di dada penuh satria
Teruskan legasi semangat juang pahlawan negara
Demi kesinambungan sebuah kedaulatan
Demi kelangsungan sebuah keamanan
Demi sebuah amanah dan kata cinta
Dengan zikir kasih kita bukakan singgahsana
menjulang jalur gemilang bersama sejarah
Padamu Malaysia kan kita serahkan raga
Keranamu Malaysia pasti akan kita rela
Demi Tuhan yang menganugerahkan segala
Malaysia...Kemerdekaanmu pasti terbela
Untukmu Keamanan, Untukmu Sejahtera!
No comments:
Post a Comment