Sunday, September 23, 2012

... antara  bicara  gundah  dan  resah  ini ... 


Mengenang nasib anak bangsaku
Aku jadi pemikir yang sering gusar,
Aku jadi pemikir yang gundah gulana

Kerisauan jiwa aku bicara hati
Bercelaruan mencari pengertian hakiki
Antara bicara kata kalian, kau dan rasa aku
Bercakaran membelah waktu
Antara masa lalu dan masakini
Mana satukah yang harus kita lalui
Mampukah kita terus harungi
Atas nama sebuah perjuangan
Dengan kalimah sumpah ketuanan
Kitalah bangsa bermaruah yang gemilang?

Gelisah resah gusarnya aku
Tidak siapapun akan tahu
Kerana setiap gerak hatiku
Bersulamkan langkah Hang Tuah
Berserikan gemalai serikandi Tun Teja
Teriring berbagai pesanan moyang
Bersumpah di dada penuh keramat
Mengorak langkah penuh cermat  
Menyusun tingkah penuh beradab
Kata-katanya terkandung makna tersirat
Yang celik akal pasti berjaya menyingkap

Peradaban ini satu ketamadunan
Permerhatian ini satu tanggungjawaban 
Moga gundahku tak lagi bertapak
Moga gulanaku tak lagi bersarang
Lantas menghapuskan segala duri dan onak
Yang bertakhta di benak minda ini
Untuk aku terus diulit mimpi enak
Dalam lena tidur yang panjang
Mensyukuri nikmat dikecapi 
Tanpa sekelumit pun dendam dan iri
Terus melusuri bumi pertiwi, 
Lagaknya penuh keyakinan
Suaranya penuh kepastian
Tegap teguh pendirian
Itulah anak watan!


nuremyinda

No comments:

Post a Comment